Penggunaan runner atau orang tengah ini amat merugikan pelanggan itu sendiri. Ini kerana caj yang dikenakan oleh runner ini amat mahal. Malah boleh mencecah ribuan ringgit walhal jika kita menghantar sendiri kenderaan kita ke PUSPAKOM, ianya jauh lebih murah. Sebagai contoh, yuran yang dikenakan PUSPAKOM untuk Pemeriksaan Tukar Milik (B5) hanyalah RM30 tetapi runner mengenakan caj yang sangat tinggi adakalahnya boleh mencecah hingga RM700.
Selain daripada itu, alasan pelanggan untuk menggunakan runner adalah kerana lama menunggu dan beratur panjang. Perkara ini terjadi kerana pelanggan tersebut datang terus ke PUSPAKOM tanpa membuat temujanji terlebih dahulu. Walaupun PUSPAKOM menerima pelanggan secara ‘walk-in’, kami amat menggalakkan orang ramai yang ingin melakukan pemeriksaan supaya membuat temujanji terlebih dahulu, sebelum datang ke PUSPAKOM.
PUSPAKOM ingin menasihatkan orang ramai supaya pergi sendiri ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan tanpa menggunakan perkhidmatan ‘runner’. Ia lebih menjimatkan dan memberi kepuasan pelanggan itu sendiri. Dengan menghantar kenderaan sendiri, mereka akan dapat lebih pengetahuan tentang keadaan kenderaan mereka. Kakitangan PUSPAKOM juga sedia membantu dalam memberi khidmat nasihat kepada pelanggan berhubung dengan kenderaan mereka.
16 окт 2024