Aku ,cikgu dan Temiar
Andaikata boleh dilukis perasaan itu , maka aku akan lukis tetapi sangat sukar untuk di gambarkan betapa gembira mereka melihat kedatangan cikgu,pentadbir & staf-staf sekolah berkunjung ke rumah mereka.
"Apa kata petang ni kita ziarah cakna." Ringkas kata-kata kepala sekolah kami yang mesra di panggil Boh. Maka semua angguk setuju memandangkan program sebegini memang di nantikan kerana inilah saat dan waktu sesuai untuk kami menjelajah serta bersuai kenal dengan masyarakat di sini.
Kisah perjalanan guru-guru pedalaman yang mencabar di selitkan dengan kisah pertemuan dengan masyarakat di sini amat besar ertinya.Ada macam karenah,watak dan suasana yang indah sambil menikmati suasana kampung yang jauh di pedalaman menjentik hati kecil aku betapa kita adalah berbilang umat namun punya perasaan yang satu.Kasih sayang.
Kami yang di wakili guru besar , pentadbir serta rombongan yang lain memulakan acara yang kerap kami lakukan sejak bertahun.Menyantuni dan beramah mesra , menaiki kenderaan pacuan empat roda dan ada yang bermotosikal kemudian berjalan kaki menuju kampung ke kampung mereka di sini.
Menikmati perjalanan penuh hijau, unggas menyanyi riang di sepanjang perjalanan menghilangkan rasa perit urat dan anggota badan yang seolah menaiki kapal laut di landa badai ketika menuju ke kampung mereka.
Aku secara peribadi sangat menyukai Kampung Dakoh , sebuah kampung yang terletak agak tinggi berbanding kampung-kampung lain kerana ada aura kedinginan tiap kali angin menyapu yang datang dari arah bukit.Sejuk tenang dan damai apatah lagi melihat persekitaran kampung mereka yang sangat bersih berlatar belakangkan Gunung Gerah yang cukup sinonim buat kaki hiking yang kerep berkunjung di sini.
Ada di satu bukit , dari jauh kelihatan sekolah kami di celah hamparan bukit dan rimba sayup mata memandang.Sungguh kerdil dengan alam namun itulah institusi pengajian buat masyarakat orang asli Temiar di sini. Di situlah indah tersergam sebuah bangunan konkrit pemberian kerajaan bagi melestarikan pendidikan anak pribumi masyarakat asal di Kelantan.Paling jauh dan paling mencabar.
Cikgu ! Cikgu ! anak-anak kecil melambai-lambai tanda girang menyambut kedatangan kami ke daerah mereka.Di tangga rumah mereka duduk menanti , di celah tingkap mereka mengintai manakala si ibu senyum gembira menyambut kami.Anjing-anjing peliharaan turut sama menyibukkan diri seolah sudah terbiasa dengan kami.Kami tidak meminta sedulang air dan sepiring kueh tapi cukuplah mereka mengatakan anak-anak mereka akan hadir ke sekolah untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.Itu yang kami sangat-sangat harapkan.
"Cikgu ! Dia selalu tengok video cikgu di tiktok !"
Ada follower istimewa dari kampung temoat aku berkhidmat.Tersengih lalu menunduk malu apabila aku menegurnya.
Aku banyak bercerita tetapi tidak sekali mengeji.Cerita yang indah untuk dikongsi. Biar anak watan di sini bangga kampung mereka sentiasa diingati.
Kerana seseorang pernah berpesan pada aku
"Kongsilah Lim , tulis yang baik-baik "
Peristiwa sepetang takkala awan berarak pulang, langit semakin redup lalu ada butir-butir halus menimpa kami itu tanda hari semakin lanjut.Senja di rimbaraya penuh makna manakala angin sepoi mula hilang maka kami harus beransur pulang.
Terima kasih kepala sekolah . Terima kasih rakan yang budiman. Terima kasih Temiar.
Kisah yang akan aku kenang seumur hayat.Kisah yang berbeza dengan dunia kita tapi cukup bermakna tersiratnya.
Di sini banyak perihal yang indah dan mendamaikan tetapi tidak semua boleh merasai.
Banyak cerita untuk di kongsikan tetapi tidak akan sama seperti mana kami guru dan staf sekolah yang melalui detik dan saat ketika itu.Syukur Alhamdulillah , tuhan yang aturkan.Begitulah.
Aku , cikgu dan Fi Kambing demi anak bangsa.
Pos Balar , Gua Musang Kelantan.
#ankel
#cikguoffroad
tiktok.com/@cikguoffroad
5 сен 2024